‘JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT’ SEMPENA HARI BUKU DAN HAK CIPTA SEDUNIA

Sempena Sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia 2015 pada hari ini, 23 April 2015, Perpustakaan UniSZA juga tidak ketinggalan untuk sama-sama menyambutnya dengan caranya yang tersendiri.  Untuk itu, Program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ atau Let’s Read Together telah dianjurkan sebagai tanda sokongan sambutan tersebut. Program ini telah dijalankan selama 10 minit pada jam 10.00 – 10.10 pagi tadi yang melibatkan penyertaan lebih 300 orang. Ini termasuklah mahasiswa-mahasiswi UniSZA yang turut sama memeriahkan program sambutan kali ini. Dalam program ini, mereka digalakkan untuk membaca seketika tepat pada pukul 10.00 pagi walau di mana sahaja mereka berada dengan membaca bahan-bahan bacaan yang bersesuaian.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk menyemai dan menyemarakkan budaya membaca di kalangan seluruh rakyat Malaysia di samping memperingati sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia Tahun 2015. Selain itu, ia juga bertujuan memartabatkan kedudukan buku sebagai sumber pengetahuan utama. Walaupun teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkembang pesat tetapi buku sebagai wadah untuk membina peradaban dunia tetap kekal dan tidak berubah.

Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia adalah resolusi daripada persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 Nov 1995 yang mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Buku.

                                          

                                          

                                          

                                          

                                          

                                          

                                          

Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR

Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA