PENGAWAS PSS ‘PEMIMPIN KECIL’ BANTU GURU WUJUD PERSEKITARAN KONDUSIF

   

Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang dilantik di sekolah sebenarnya merupakan pemimpin kecil yang dipilih untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi membantu guru dan pentadbir sekolah agar dapat mewujudkan satu persekitaran Pusat Sumber Sekolah yang kondusif, kemas dan teratur. Menurut beliau, persekitaran PSS yang kondusif mampu menimbulkan suasana yang damai, situasi yang terkawal dan dapat menumpukan kepada fungsi utama sebuah PSS iaitu memupuk tabiat membaca, literasi maklumat dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat. Ini juga bertepatan dengan aspirasi serta falsafah pendidikan kebangsaan. Demikian petikan ucapan oleh  Pustakawan Kanan, Perpustakaan UniSZA, Puan Norulhuda Makhtar ketika hadir mewakili Ketua Pustakawan, Perpustakaan UniSZA, Puan Rohani Othman, bagi merasmikan Majlis Watikah Pemimpin Pusat Sumber dan Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS) bagi tahun 2015. Beliau juga turut menyarankan agar masyarakat khususnya dapat mengubah persepsi tugas pengawas PSS yang diwujudkan di sekolah. Tambah beliau, tanggungjawab Pengawas PSS kini bukan sekadar menyusun buku, menjalankan pemantauan di perpustakaan, menguruskan peminjaman dan pemulangan bahan, tetapi juga perlu ditransformasi dan dilatih untuk menjadi seorang yang mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi serta mampu membantu para pengguna PSS.

  

Majlis perasmian tersebut berlangsung pada 19 April lalu di Dewan Gemilang SMKSS. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Encik Samsudin bin Ismail, Pengetua SMKSS, Puan Rosnorzaini binti Rusli (Pustakawan Kanan UniSZA), Guru-guru Penolong Kanan, guru-guru dan para pelajar SMKSS.

Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR

Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA