BENGKEL PENGKATALOGAN DAN PENGELASAN BAHAN PERPUSTAKAAN 2011

Pengkatalogan dan pengelasan merupakan salah satu cabang ilmu yang memerlukan penguasaan dan kemahiran yang tinggi dalam pelaksanaannya. Memandangkan koleksi di perpustakaan sentiasa berkembang dari masa ke masa, ianya perlu diurus secara sistematik dan kemahiran ini perlulah sentiasa dimantapkan agar ianya dapat membantu pelanggan mengesan bahan dengan mudah dan berkesan. Selari dengan keperluan tersebut, Perpustakaan UniSZA dengan kerjasama Jabatan Pendaftar UniSZA telah menganjurkan Bengkel Pengkatalogan dan Pengelasan Bahan Perpustakaan bertempat di Bilik Persidangan UniSZA.

Bengkel yang bermula pada 29 – 31 Mac 2011 ini telah dirasmikan oleh Pendaftar UniSZA, Prof. Madya Dr. Nik Wan Omar. Penceramah bengkel pada kali ini ialah Puan Hamidah Abd. Rahman dari Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM. Beliau merupakan pensyarah UiTM dan mempunyai kepakaran serta pengalaman yang luas dalam bidang pengkatalogan dan pengelasan bahan perpustakaan.

Bengkel yang dijalankan selama tiga hari ini dihadiri oleh Pustakawan dan Pembantu Perpustakaan yang terlibat dalam tugas pengkatalogan dan pengelasan.

Antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pemahaman tentang penggunaan MARC21, mengetahui dan mematuhi peraturan/standard yang diperlukan semasa membuat diskripsi bibliografik bahan yang sedang dikatalog, menguasai konsep-konsep asas serta berkebolehan mengelas bahan berdasarkan sistem pengelasan Library of Congress dan menambah serta memantapkan lagi kecekapan semasa membuat proses pengkatalogan.

Berita ROSNORZAINI RUSLI

Gambar JABATAN PERPUSTAKAAN UniSZA