Cetak

Perpustakaan UniSZA dipilih tuan rumah Bengkel Hala Tuju Perpustakaan Universiti Awam

Perpustakaan perlu sentiasa bergerak ke hadapan dalam memastikan segala keperluan dan kehendak semasa dipenuhi. Ini juga bagi memastikan perpustakaan sebagai sebuah institusi keilmuan yang penting sentiasa relevan dan dapat bersaing dengan arus perdana. Apatah lagi, fokus utama kini sedang terarah kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Bagi merealisasikan objektif tersebut, Perpustakaan UniSZA telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menganjurkan Bengkel Hala Tuju Perpustakaan Universiti Awam (UA). Bengkel ini berlangsung selama tiga hari bermula 25 Mac hingga 27 Mac 2019 di Ruang Pembelajaran Kolaboratif, Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.

Bengkel tersebut disertai seramai lebih 25 peserta yang merupakan Ketua-ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan dari Perpustakaan Universiti Awam seluruh negara. Bengkel ini juga bertujuan untuk membincangkan pelbagai perkara dalam menentukan hala tuju selain menjana idea-idea baharu dalam perkhidmatan perpustakaan.

Sesi perbincangan ini merupakan agenda yang sangat penting dalam usaha memperkemaskan perkhidmatan perpustakaan bagi mendepani cabaran persekitaran, mendapatkan input-input yang bernas serta menyediakan perkhidmatan perpustakaan yang mantap dan berkualiti seiring dengan keperluan semasa.

Selain sesi bengkel, turut diadakan sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Anticipating Future Challenges’ yang disampaikan oleh Ketua Pusat Sitasi Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuraidah Abd. Manaf.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

 
Cetak

GALERI ‘PAK SAMAD’, MEDAN PERKONGSIAN ILMU KESARJANAAN SASTERAWAN NEGARA DI PERPUSTAKAAN UniSZA

 

Berbicara tentang sastera dan puisi, nama Datuk Seri A. Samad Said antara nama yang sering menjadi perhatian. Karya-karya agung seperti Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikir, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Adik Datang dan Daerah Zeni merupakan antara yang menjadi naskhah penting dalam membawa beliau ke arena sastera dan penulisan. Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) pada tahun 1985 dan telah menghasilkan pelbagai hasil penulisan sebagai medium dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

                                        

Hari ini, segala hasil penulisan beliau dapat dihayati secara lebih dekat kerana lebih 100 karya dan dokumentasi SN tersebut, kini dipamerkan di Galeri Sasterawan D UniSZA: A. Samad Said. Galeri yang terletak di Perpustakaan UniSZA memaparkan pelbagai hasil karya beliau selain keratan akhbar, novel, catatan-catatan penulisan dan gambar-gambar beliau.

 

Galeri ini ditubuhkan bersempena dengan pelantikan Pak Samad sebagai Sasterawan D UniSZA. Ini sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu universiti awam ‘menempatkan’ Sasterawan Negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan itu kepada negara.

 

Pak Samad sempat berkunjung ke Perpustakaan UniSZA untuk melawat galeri tersebut pada 9 Mac 2019 seusai program ‘Sasterawan D Universiti: Sehari Bersama Pak Samad’. Beliau yang diiringi Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan serta para pegawai kanan UniSZA meluangkan masa kira-kira satu jam bagi melihat bahan-bahan yang dipamerkan.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Cetak

PERPUSTAKAAN UniSZA TERIMA KUNJUNGAN SASTERAWAN NEGARA

 

Perpustakaan UniSZA menerima kunjungan Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said  atau ‘Pak Samad’ pada 9 Mac 2019. Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada program yang dihadiri beliau iaitu ‘Sasterawan D Universiti: Sehari Bersama Pak Samad’ yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA.

Beliau dibawa melawat ke Galeri Sasterawan D UniSZA: A. Samad Said yang menempatkan pelbagai hasil penulisan dan dokumentasi beliau. Galeri ini ditubuhkan bersempena dengan pelantikan Pak Samad sebagai Sasterawan D UniSZA. Beliau diberi taklimat oleh Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Tugas), Puan Norulhuda Makhtar di samping menonton tayangan video di galeri tersebut.

Turut mengiringi beliau, Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan serta para pegawai kanan UniSZA.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Cetak

PROGRAM KOLABORATIF BAITUL HIKMAH SMK DATO’ RAZALI ISMAIL BERSAMA PERPUSTAKAAN UniSZA

 

Pada tanggal 7 Mac 2019 seramai 61 orang Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) diiringi 3 orang Guru Perpustakan dan Media (GPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali Ismail (SMKDRI) telah mengadakan program Kolaboratif Baitul Hikmah SMKDRI dengan Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.

Program ini merupakan inisiatif pihak sekolah untuk memberi pendedahan kepada Pengawas PSS tentang pengurusan perpustakaan yang efektif. Program yang bersifat kursus atau latihan ini telah dikendalikan oleh En. Mohd Sabri bin Muda, dibantu oleh Pn. Puspa Abd. Rashid dan 2 orang pelajar latihan industri Universiti Teknologi MARA (UiTM). Melalui program ini, pihak sekolah berhasrat untuk menyediakan pendedahan dan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus dan bersesuaian dengan tugas dan tanggungjawab Pengawas PSS.

Antara objektif lain program ini ialah untuk memberi peluang kepada Pengawas PSS mendapatkan pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah, disamping memperkembangkan kemahiran berkomunikasi, berinteraksi dan bersosial dengan masarakat di luar sekolah.

Kemuncak program setengah hari itu, mereka telah di bawa untuk melawat sekitar Perpustakaan UniSZA, melihat proses kerja di Bahagian Pengurusan Teknikal dan Bahagian Perkhidmatan Pengguna.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Cetak

Pengerusi LPU saran Perpustakaan UniSZA kekalkan prestasi terbaik, mantapkan kepelbagaian peranan

Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA (LPU), Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty menyarankan agar Perpustakaan UniSZA terus mengekalkan prestasi terbaik di samping memantapkan peranan dalam pelbagai aspek di Institusi Pengajian Tinggi. Ujar beliau lagi, perpustakaan harus lebih berkembang tidak hanya terhad kepada penyimpanan serta pengurusan bahan rujukan semata-mata, namun turut perlu lebih ke hadapan memandangkan fungsi perpustakaan kini menjadi semakin besar seiring dengan perkembangan pelbagai cabang ilmu.

“Perpustakaan harus lebih berkembang supaya setanding dengan Universiti Awam (UA) yang lain. Prestasi serta momentum terbaik perlu dikekalkan dan memantapkan lagi peranannya dalam menyokong institusi keilmuan seperti UniSZA. Sumbangan perpustakaan dalam pelbagai aspek tidak dapat dinafikan lagi melihat kepada penglibatan perpustakaan dalam pelbagai aspek dengan begitu baik di UniSZA,” katanya.

Beliau berucap ketika turun padang ke Perpustakaan UniSZA sempena Lawatan Kerja Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA (LPU) pada 18 Februari 2019. Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada daripada rangka lawatan beliau ke UniSZA.

 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga UniSZA, khususnya Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Tugas), Puan Norulhuda Makhtar atas penglibatan warga Perpustakaan UniSZA yang begitu aktif dalam pelbagai bidang walaupun berada di Pantai Timur.

Beliau bersama beberapa orang pegawai UniSZA juga sempat meluangkan masa beramah mesra dengan warga Perpustakaan UniSZA. Turut mengiringi bersama, Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan serta para pegawai kanan UniSZA.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions