Cetak

AMALAN YANG PALING BAIK ADALAH BIARPUN SEDIKIT, TETAPI ISTIQAMAH

Daripada Aisyah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Taala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”

Itulah antara petikan hadis yang dikongsi oleh Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab. Halim, pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA pada sesi Ceramah Pembangunan Modal Insan bersama warga Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB). Sesi perkongsian selama satu jam itu berlangsung secara dalam talian pada 20 Mei 2020.

Pada sesi kali ini, Prof. Madya Dr. Zulazhan yang mengupas tajuk “Sempurnakah Ramadanku”, turut berkongsi tentang amalan-amalan yang sangat dituntut di bulan penuh barakah ini. Beliau juga menyeru supaya kita melakukan amalan ini secara istiqamah atau berterusan.

Misalnya, sekiranya kita membaca Al-Quran walaupun satu muka surat pada setiap hari dengan berterusan, amalan itu adalah lebih baik daripada kita membaca Al-Quran sebanyak satu juzuk tetapi hanya sepanjang bulan Ramadan.

“Kalau kita nak buat sesuatu perkara baik, kena sentiasa istiqamah. Rasulullah SAW sentiasa mengajak kita untuk berbuat kebaikan. Walaupun mungkin sedikit atau nilainya kecil. Kalau kita baca Al-Quran, walaupun satu muka surat setiap hari, itu sebenarnya lebih baik daripada kita membaca satu juzuk tetapi hanya pada bulan Ramadan”, katanya.

            Beliau turut menjelaskan, bulan Ramadan ini adalah bulan untuk mentarbiah dan mendidik kita supaya menjadi umat Islam yang lebih baik dan bertaqwa. Antara amalan lain yang dituntut dalam bulan Ramadan ini adalah bersedekah, menyambung silaturrahim sesama manusia serta sentiasa mendoakan orang lain.

 

 

Mei 21, 2020

PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

Cetak

Peranan PWB di musim PKP

Visi PWB adalah menjadi sebuah pusat maklumat akademik yang unggul berasaskan teknologi dan misi PWB pula adalah untuk menyediakan maklumat serta kemudahan terkini bagi menyokong proses pengajaran, pembelajaran dan pembangunan penyelidikan untuk kecemerlangan akademik. Namun sejauh manakah PWB dapat merealisasikan visi dan misi ini berjalan seiring apabila kerajaan mengumumkan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Rentetan daripada penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan, semua perkhidmatan perlu ditutup kecuali perkhidmatan perlu sahaja yang dibenarkan beroperasi. Sehubungan dengan itu, maka operasi PWB juga turut terlibat. Pada waktu genting beginilah, peranan semua pustakawan amat diperlukan dalam memastikan PWB terus dapat beroperasi walaupun hanya dalam talian.  PKP bukanlah musim untuk bercuti dan bersenang lenang di rumah. Tugasan tetap perlu dilaksanakan walaupun menghadapi pelbagai kekangan dan dugaan bagi menjalankan kerja dari rumah. 

Memandangkan UniSZA sendiri mempunyai platform e-pembelajaran, maka sudah tentulah para pelajar memerlukan bahan untuk dirujuk. Jika sebelum PKP, sudah pasti perpustakaan menjadi tempat utama mereka untuk menelaah, berbincang dan yang paling utama sebagai tempat dapatan bahan rujukan.

Sumber elektronik

Untuk itu, apabila PKP diumumkan kami para pustakawan terus memikirkan solusi bagi membantu pengguna yang pastinya amat memerlukan perkhidmatan kami nanti. Langkah pertama yang kami lakukan adalah dengan memastikan semua sumber elektronik dapat berfungsi dengan baik. Di sinilah kerjasama para pustakawan amat diperlukan. Tidak kira bahagian atau unit, kami saling membantu memastikan setiap judul yang ada dapat diakses. Mana yang bermasalah, cuba diselesaikan dengan segera. Hikmah PKP, kami saling bergandingan menyelesaikan masalah demi menyediakan akses yang terbaik buat para pengguna kami. Tiada alasan lagi untuk tidak menyiapkan tugasan, kerana di PWB telah tersedia segala maklumat yang boleh diakses 24/7. Buku elektronik, jurnal elektronik dan pangkalan data antara pilihan yang boleh digunakan di musim PKP ini. Duduk di rumah dan layarilah sumber elektronik yang telah disediakan.

Poster

Jika ada bahan namun tiada yang mengetahuinya pun tak guna juga. Lantas, sekali lagi dengan kekangan yang ada, kami kerahkan idea dan cuba menyediakan poster bagi promosi setiap sumber elektronik dan perkhidmatan yang kami tawarkan. Pelbagai poster dihasilkan oleh para pustakawan. Dengan kemahiran yang terhad, akhirnya kami mampu juga menghasilkannya untuk kesedaran dan makluman para pengguna kami. Kami berharap poster yang kami hasilkan ini mampu menarik pengguna kami dan mampu menyampaikan sesuatu yang berguna kepada mereka. Jika sebelum ini, poster akan disediakan oleh staf yang memang berkemahiran, tetapi di musim PKP ini kami terpaksa turun padang. Ini akan menjadi kenangan yang terindah buat kami. 

Web Mini Perpustakaan (Digital Library)

Apabila menyedari portal perpustakaan mempunyai terlalu banyak maklumat, Bahagian Pengurusan Perkhidmatan (BPP) telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan web mini perpustakaan yang baharu agar pengguna boleh terus mengakses maklumat tanpa perlu memikirkan kepelbagaian maklumat lain yang ada di dalam portal sedia ada. Web mini ini lebih fokus kepada sumber elektronik yang boleh dicapai oleh pengguna. Mereka boleh terus melayarinya dengan mudah. Video tutorial dan panduanjuga turut disediakan agar pengguna yang pertama kali mencubanya tidak terkial-kial dalam melayari kemudahan yang disediakan.

Sumber Maklumat Terbuka (Open Access Resources)

Pada masa kita menghadapi kesukaran ini, pihak penerbit juga turut sama membantu dengan menyediakan pelbagai sumber elektronik secara open access. Malahan maklumat mengenai Covid-19 juga turut disediakan. Sebagai contoh, Emerald Publishing, ProQuest, Ebscohost dan Wiley antara penerbit yang begitu giat memberikan akses percuma kepada pangkalan data mereka serta kepelbagaian artikel mengenai Covid-19 turut boleh diakses dengan mudah oleh para pengguna. Semua kemudahan maklumat ini boleh dicapai melalui web mini perpustakaan untuk diakses bersama.

Perkhidmatan Rundingan Atas Talian

Tidak berhenti di situ sahaja, kami pustakawan mencari lagi idea lain yang boleh memudahkan para pengguna untuk menghubungi kami. Maka timbullah pula idea Perkhidmatan Rundingan Atas Talian yang mana pengguna boleh bertanya kepada pustakawan secara live chat. Tugasan diberikan secara bergilir-gilir mengikut waktu yang ditetapkan. Namun, kami tidak menghadkan masa kerana para pengguna masih lagi boleh menghubungi kami melalui WhatApps di mana-mana nombor yang telah dihebahkan di FB rasmi PWB dan portal. Apa yang kami harapkan, para pengguna faham jika kami tidak menjawab secara on time, kerana kami juga terikat dengan anak-anak yang masih kecil di rumah.  Salah satu cabaran yang perlu kami hadapi apabila bekerja dari rumah. Mencabar, namun terselit jua keseronokan di situ.

Semoga usaha kecil kami ini mampu membantu dan memudahkan para pengguna kami belajar di musim PKP ini. Diharapkan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi. Semoga kita dapat bersua kembali dan berkumpul semula di PWB buat sekian kalinya.

 

April 29, 2020

PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

Diari Pustakawan Bil.3: Khalid, S

Cetak

Catatan Pengalaman Bekerja dari Rumah Sepanjang PKP

Catatan ini sekadar perkongsian pengalaman…

Hari ini, 16 April 2020 genaplah 30 hari kita berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Corak hidup kita telah mula berubah semenjak hari pertama PKP diumumkan. Kerinduan terhadap pejabat dan rakan setugas yang lama tidak bersua muka semakin dirasai hari demi hari seolah-olah kita telah mengalami pra pencen.

Banyak perkara yang perlu difikirkan dan perubahan demi perubahan perlu dilakukan bagi kelangsungan hidup. PKP bukan bermakna kita perlu menghentikan semua aktiviti pekerjaan. Ini kerana kita masih terikat dengan tanggungjawab sebagai seorang pekerja. Sebab itulah maka munculnya frasa ‘work from home’ atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai ‘Kerja dari Rumah’.

Inilah yang menjadi cabarannya. Berada di rumah, dikelilingi oleh anak-anak, tanggungjawab sebagai isteri, memasak, membasuh dan sebagainya tersangatlah mencabar minda dan fizikal. Dalam masa yang sama, sebagai seorang pustakawan, kami masih perlu memastikan tanggungjawab kami sebagai seorang staf perpustakaan turut terlaksana seiring dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Manakala bagi lelaki pula, tanggungjawab mereka sebagai seorang suami, bapa dan pekerja perlulah seiring agar tidak ada yang terabai dan menjerut rasa. Cabaran perlu disahut walau apa jua rintangan kerana kita perlu memakai ‘topi’ yang pelbagai dalam satu masa sebagai pekerja, ibu, anak, dan suami.

Dalam memastikan pengguna kami terus dapat menikmati perkhidmatan yang ditawarkan oleh perpustakaan, pelbagai inisiatif yang perlu difikirkan. Masa inilah kerjasama di antara rakan sekerja amat diperlukan. Perbincangan melalui WhatsApp selalunya menjadi penghubung di antara kami dalam mencari solusi untuk membantu pengguna kami. Mesyuarat dalam talian juga menjadi penghubung di antara kami. Sedang khusyuk bermesyuarat,tiba-tiba kedengaran suara anak-anak menjerit di belakang mengganggu konsentrasi. Sungguh mencabar dan inilah yang akan menjadi kenangan buat kami apabila tamat PKP nanti. Bagaimanapun, Allah mempermudahkan kami, kerana kami dikurniakan rakan sekerja yang sama-sama komited dalam memastikan perpustakaan terus dapat berfungsi walau di alam maya.

Minggu pertama PKP, bagai nak pecah kepala kami memikirkan apa yang harus kami lakukan. Dengan kemahiran dan kepakaran teknologi yang agak terhad, kami tetap berjuang dalam memastikan pengguna tidak hilang arah untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih. Kami yang tiada asas dalam membuat poster terpaksa mengerah idea untuk menghasilkannya. Tujuannya agar pengguna kami tahu maklumat apa yang disediakan oleh kami, siapa yang mereka boleh hubungi, apa yang boleh mereka akses dan sebagainya. Dengan berkat kecekalan kami yang kekurangan idea kreatif ini maka terhasillah pelbagai rekabentuk poster promosi untuk pengguna kami.

Rentetan PKP, maka terhasillah juga web mini perpustakaan yang baharu. Ketua bahagian turut sama turun padang dan beliaulah yang bersengkang mata menghasilkan web mini yang menyediakan akses kepada sumber dan perkhidmatan digital ini agar pengguna tidak hilang arah semasa membuat pencarian di portal perpustakaan. Kami juga tidak mengira waktu membantu pengguna kami dengan melayani persoalan mereka sama ada di ruangan ‘chatting’ yang disediakan di portal perpustakaan, emel atau melalui WhatApps di nombor personal kami. Semakin bertambah masa PKP, pelbagai idea dan inovasi muncul sambil menari-nari di kepala masing-masing. Motif? Motifnya hanya satu, supaya penyampaian perkhidmatan kami kepada pengguna sampai dan berkesan serta dapat diaplikasikan oleh mereka dalam menyiapkan tugasan di rumah.

Apa yang penting bagi kami, pengguna sentiasa memperolehi maklumat dengan mudah dan tepat serta tidak hanyut di lautan Google. Ya, Google boleh menjawab apa jua persoalan pengguna namun kesahihannya masih lagi boleh diragui. Semoga usaha kecil kami ini memberi makna buat semua pengguna kami.

"Sayangi perpustakaanku, I love my library, uhibbu maktabati"

#unisza #perpustakaanalwathiqubillah #PWBdihati

#StaySafe #dudukrumah #coronavirus #COVID19

#sihatmilikkita #kitajagamalaysia #kitajagakita         

April 16,2020

PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

Diari Pustakawan Bil.1: Khalid, S.

Cetak

Program Hari Warga Perpustakaan 2020 dilaksana meriah di Kem Merang, Setiu

Program Hari Warga Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) pada tahun 2020 kali ini memberikan sedikit kelainan dengan penganjurannya yang diadakan di luar UniSZA.

Program pada tahun ini yang dihadiri oleh bukan sahaja warga PWB, malahan turut diserikan dengan kehadiran anak-anak dan juga ahli keluarga mereka. Program ini diadakan di Kem Merang, Setiu. Program dimulakan dengan bacaan doa, dan seterusnya, ucapan daripada Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Tugas), Puan Norulhuda Makhtar.                                                                           

Antara lain dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua staf PWB atas sumbangan dan penglibatan sepanjang tahun 2019.

Beliau turut menyeru kepada semua agar meningkatkan pencapaian pada tahun 2020 dan menjaga hubungan sesama rakan sekerja.

“Saya mengharapkan agar kita semua dapat meningkatkan prestasi kerja kita pada tahun ini menjadi lebih baik berbanding tahun lepas. Selain itu, kukuhkan hubungan sesama rakan sekerja dan sentiasa bersikap saling membantu antara satu sama lain, ” katanya.

Beberapa acara sukaneka diadakan melibatkan semua staf serta amak-anak yang hadir.  

                                          

                                                                                                  

Majlis penyampaian hadiah turut dijalankan usai acara sukaneka dan makan tengahari. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Tugas), Puan Norulhuda Makhtar.

Program ini yang dirancang serta dianjurkan oleh kumpulan pelaksana ternyata dapat memberikan impak positif dengan penglibatan semua staf yang hadir serta kehadiran ahli keluarga.

                                 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN Al- WATHIQU BILLAH

Cetak

Warga Perpustakaan Kampus Besut terima penyerahan bangunan baharu

Perpustakaan Kampus Besut menerima khabar gembira apabila ‘kediaman baharu’ mereka diserahkan pada Majlis Penyerahan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) – Pembinaan Bangunan Baharu Kampus Besut pada 8 Disember 2019.

Majlis yang berlangsung di Bangunan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, UniSZA Kampus Besut itu menyaksikan penyerahan secara rasmi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Terengganu kepada Pengarah Kampus Besut, Prof. Dr. Nordin Abdul Rahman. 

                          

Projek yang dimulakan pada 5 September 2017 akhirnya siap sepenuhnya pada 18 September 2019. Bangunan perpustakaan yang menelan kos sebanyak lebih RM14 juta  ini akan mula beroperasi pada 19 Januari 2020. Perpustakaan Kampus Besut mempunyai tujuh orang staf yang diketuai oleh Pustakawan iaitu Puan Norhazura Yunus.

 Bangunan perpustakaan dua tingkat  ini menyediakan pelbagai kemudahan  yang selesa dan kondusif untuk para pengguna. Antaranya ruang pembelajaran kolaboratif, gerbang siber, ruang santai, bilik siswazah, bilik tesis, ruang belajar 24 jam, surau, kafeteria dan juga perkhidmatan percetakan.

 Perpustakaan baharu ini boleh memuatkan kira-kira 500 orang pada satu-satu masa yang akan memberi nafas baharu kepada para pengguna. Kampus Besut menempatkan tiga buah fakulti iaitu Fakulti Biosumber dan Industri Makanan, Fakulti Informatik dan Komputera dan Fakulti Sains Sosial Gunaan.

 Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Kmapus Besut, Prof. Dr. Nordin Abdul Rahman, Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Fungsi), Puan Norulhuda Makhtar dan wakil-wakil Pusat Tanggungjawab lain.

                                                                             

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN Al- WATHIQU BILLAH

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions