Print

Program Dekad Membaca: Perpustakaan UniSZA menubuhkan Perpustakaan Mini di Perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang.

 ISNIN, 6 MEI 2019

                                           

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Sekalipun terpaksa meredah hutan, jauh dari hiruk-pikuk kota, warga Perpustakaan UniSZA nekad dalam usaha untuk merealisasikan hasrat program Dekad Membaca yang telah direncanakan oleh Kementerian Pendidikan. Bagi program kali ini, Perpustakaan UniSZA telah menongkah arus dengan ‘menerjah’ ke perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang, Kelantan. Perpustakaan UniSZA telah menyertai Projek Khaleef Bateq yang bertemakan Sekolah Bimbingan Fardhu Ain dan Galakan Membaca anjuran Persatuan Mahasiswa Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Perpustakaan UniSZA telah menubuhkan sebuah Perpustakaan Mini bagi menyantuni 100 orang kanak-kanak daripada 350 penduduk di kampung tersebut.

Program yang bermula sejak Februari 2019 lalu, digerakkan oleh sekumpulan 87 orang mahasiswa Antropologi dan Dakwah dari FSSG telah dirasmikan oleh Dekan FSSG, Prof. Dr. Wan Abd Aziz Wan Mohd Amin yang mewakili Naib Canselor UniSZA pada 4 Mei 2019 lalu. Turut hadir dalam perasmian tersebut ialah ADUN Paloh, Yang Berhormat Haji Amran Arifin, dan Penghulu POS Aring 5, Encik Raina bin Anjang.

                                                       

Antara program yang dirangka bagi manfaat komuniti Orang Asli di sini ialah seperti kelas fardhu ain dewasa lelaki dan wanita, dan kelas pendidikan awal kanak-kanak bagi memantapkan penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli. Bagi pihak Perpustakaan UniSZA, ini merupakan inisiatif dan peluang dalam melaksanakan tanggungjawab kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat selain tanda sokongan kepada program Dekad Membaca. Dalam pada itu, perpustakaan mini ini juga akan menjadi platform kepada komuniti Orang Asli menyemai minat membaca dan memperolehi ilmu pengetahuan.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Wan Abd Aziz berkata, pemilihan komuniti Orang Asli dalam program tersebut pula adalah sejajar dengan kehendak program Dekad Membaca yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada Jun 2018 yang bertujuan untuk menyemarakkan kempen budaya membaca dan seterusnya menzahirkan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030 tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

                                            

Selari dengan ucapan tersebut, bagi Pengarah Projek Perpustakaan Mini, Encik Mohd Sabri Muda, menyatakan bahawa program ini dilaksanakan sebagai suatu idea untuk mendedahkan golongan Orang Asli dengan pelbagai bahan bacaan serta membantu mereka untuk menanamkan budaya cintakan ilmu. “Dalam hal ini, kita sebagai warga Perpustakaan UniSZA berasa terpanggil untuk melaksanakan projek bersama dengan Orang Asli memandangkan kita sedia maklum golongan ini sukar untuk keluar dari perkampungan mereka. Apatah lagi, penempatan mereka jauh dari bandar. Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang kepada kita. Namun, kita juga tidak boleh meminggirkan golongan ini dari arus pendidikan. Bagi melunaskan tanggungjawab itu, sebagai alternatif, kita mengambil langkah untuk turun ke perkampungan ini bagi memberikan ‘input’ kepada mereka,” ujarnya.

                  

Ternyata usaha ini menampakkan hasil yang positif apabila ramai ibu bapa dan kanak-kanak Orang Asli datang ke program yang dilaksanakan tersebut. Selain menempatkan sejumlah 350 bahan bacaan, sebahagian ruang Perpustakaan Mini turut dijadikan sebagai ruangan pembelajaran. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan pada hari perasmian tersebut seperti sesi motivasi dan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh 60 orang mahasiswa dari Fakulti Perubatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sayuti Razali.

Projek ini jika diurus dan dikendalikan dengan sebaik mungkin pasti akan berjaya mencapai objektif dan menjadi pemangkin kepada pemupukan budaya membaca dan seterusnya menjadi contoh ikutan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan-kawasan lain.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Print

Program Bacalah Sayang 2.0 bawa Perpustakaan UniSZA dekati kanak-kanak istimewa

                                                                                 Tabiat membaca perlu disemai sejak dari kecil lagi. Umpama pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sikap suka membaca ini perlu ada dalam naluri semua golongan, tidak kira tua ataupun muda. Membaca perlu dijadikan satu gaya hidup kerana membaca itu merupakan jambatan ilmu.

Dalam mengembangkan minat membaca kepada kanak-kanak, Perpustakaan UniSZA mengambil tanggungjawab dengan mendekati golongan comel ini khususnya murid-murid yang berkeperluan khas. Ini untuk memastikan golongan kanak-kanak ini tidak dipinggirkan dari arus perdana dan mereka juga sama-sama dapat menyumbang kepada negara untuk masa depan.  Program yang dinamakan ‘Bacalah Sayang 2.0’ anjuran Perpustakaan UniSZA ini diadakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Gong Badak (SKGB), Kuala Nerus. Tema pada kali ini ‘IQRA’ with special kids.’

Seramai 40 murid SKGB terpilih mengikuti program sehari ini yang berlangsung pada 25 April 2019. Murid-murid tersebut yang berada dalam program pendidikan khas terdiri daripada Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran (KKBP) iaitu mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti sindrom down, perkembangan lewat, autisme, hiperaktif, masalah emosi dan masalah pertuturan. Pendidikan khas boleh didefinisikan sebagai kaedah-kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecacatan atau kurang upaya.

                                                                                  

Menurut Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Tugas), Puan Norulhuda Makhtar, selain tanggungjawab hakiki yang perlu dilunaskan di universiti, Perpustakaan UniSZA juga turut mempunyai peranan lain kepada masyarakat di luar universiti. Oleh itu, program seperti ini diwujudkan bagi memenuhi tanggungjawab sosial Perpustakaan UniSZA melalui program khidmat masyarakat yang dilaksanakan.

“Ini sebenarnya suatu usaha kecil kami dalam mendekati serta menyebarluaskan ilmu yang ada kepada masyarakat terutamanya kepada warga sekolah. Pada tahun ini, kita cuba membawa kelainan dengan melibatkan murid Pendidikan Khas pula. Melalui siri kedua ini, tema ‘IQRA’ with special kids’ pula digunakan agar terdapat variasi yang dapat mencetuskan idea baru dalam usaha penggiatan budaya membaca dalam kalangan murid sekolah”.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian program tersebut yang berlangsung di Dewan Khalid al-Walid, SKGB.

Pelbagai aktiviti dijalankan sempena program tersebut. Antaranya Colourful Popsicle, Jigsaw Puzzle, Human Body dan Sing With Me mendapat respons positif daripada murid-murid yang terlibat. Program ini dikendalikan oleh warga Perpustakaan UniSZA dan juga para pelajar latihan industri.

Program ini dapat menggalakkan literasi awal mengenai membaca dan menulis oleh murid-murid khas. Selain itu, ini merupakan platform dalam menyediakan ruang untuk murid-murid khas memperlihatkan kebolehan sedia ada mereka dan menggunakan kaedah yang menarik untuk menarik minat murid-murid khas untuk belajar.

Program dirasmikan oleh Guru Besar SKGB, Encik Ahmad Zohir Harun.

                                                  

                                                 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Print

Ruang Pembelajaran Kolaboratif tonjolkan aura baharu Perpustakaan UniSZA

Rabu, 24 April 2019

                                                    

Perpustakaan sebagai pusat pengumpulan khazanah institusi, bukan sahaja menempatkan pelbagai bahan rujukan, namun fungsinya kini perlu memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Transformasi perlu dilakukan memandangkan keperluan pengguna kini tidak lagi seperti dahulu yang hanya menumpukan kepada ruang bacaan semata-mata.

Bagi memenuhi tuntutan tersebut, Ruang Pembelajaran Kolaboratif diwujudkan di Perpustakaan UniSZA dalam memberi kemudahan yang lebih selesa di samping menampilkan aura baharu perpustakaan. Ruang ini adalah salah satu tarikan terbaharu bagi pengguna mengaplikasikan pelbagai kemudahan perpustakaan yang disediakan. Idea ini merupakan suatu inovasi yang dibuat memandangkan Perpustakaan UniSZA sedar bahawa pengguna memerlukan sebuah ruang yang lebih santai dan selesa untuk perbincangan dan diskusi antara mereka. 

                                              

Ternyata idea ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila respons yang diterima daripada para pengguna yang rata-ratanya pelajar adalah amat positif. Penggunaan ruang ini sangat menggalakkan memandangkan ruang ini bersifat lebih santai dan persekitarannya yang kondusif sesuai dengan kehendak pengguna.  

Kemudahan ini mula dibuka kepada para pengguna pada 15 April 2019 lalu dan setakat ini penggunaannya mendapat sambutan yang di luar jangkaan. Ruang ini terletak di Aras Bawah Perpustakaan UniSZA.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Print

Perpustakaan UniSZA dipilih tuan rumah Bengkel Hala Tuju Perpustakaan Universiti Awam

Perpustakaan perlu sentiasa bergerak ke hadapan dalam memastikan segala keperluan dan kehendak semasa dipenuhi. Ini juga bagi memastikan perpustakaan sebagai sebuah institusi keilmuan yang penting sentiasa relevan dan dapat bersaing dengan arus perdana. Apatah lagi, fokus utama kini sedang terarah kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Bagi merealisasikan objektif tersebut, Perpustakaan UniSZA telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menganjurkan Bengkel Hala Tuju Perpustakaan Universiti Awam (UA). Bengkel ini berlangsung selama tiga hari bermula 25 Mac hingga 27 Mac 2019 di Ruang Pembelajaran Kolaboratif, Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.

Bengkel tersebut disertai seramai lebih 25 peserta yang merupakan Ketua-ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan dari Perpustakaan Universiti Awam seluruh negara. Bengkel ini juga bertujuan untuk membincangkan pelbagai perkara dalam menentukan hala tuju selain menjana idea-idea baharu dalam perkhidmatan perpustakaan.

Sesi perbincangan ini merupakan agenda yang sangat penting dalam usaha memperkemaskan perkhidmatan perpustakaan bagi mendepani cabaran persekitaran, mendapatkan input-input yang bernas serta menyediakan perkhidmatan perpustakaan yang mantap dan berkualiti seiring dengan keperluan semasa.

Selain sesi bengkel, turut diadakan sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Anticipating Future Challenges’ yang disampaikan oleh Ketua Pusat Sitasi Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuraidah Abd. Manaf.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Print

GALERI ‘PAK SAMAD’, MEDAN PERKONGSIAN ILMU KESARJANAAN SASTERAWAN NEGARA DI PERPUSTAKAAN UniSZA

 

Berbicara tentang sastera dan puisi, nama Datuk Seri A. Samad Said antara nama yang sering menjadi perhatian. Karya-karya agung seperti Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikir, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Adik Datang dan Daerah Zeni merupakan antara yang menjadi naskhah penting dalam membawa beliau ke arena sastera dan penulisan. Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) pada tahun 1985 dan telah menghasilkan pelbagai hasil penulisan sebagai medium dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

                                        

Hari ini, segala hasil penulisan beliau dapat dihayati secara lebih dekat kerana lebih 100 karya dan dokumentasi SN tersebut, kini dipamerkan di Galeri Sasterawan D UniSZA: A. Samad Said. Galeri yang terletak di Perpustakaan UniSZA memaparkan pelbagai hasil karya beliau selain keratan akhbar, novel, catatan-catatan penulisan dan gambar-gambar beliau.

 

Galeri ini ditubuhkan bersempena dengan pelantikan Pak Samad sebagai Sasterawan D UniSZA. Ini sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu universiti awam ‘menempatkan’ Sasterawan Negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan itu kepada negara.

 

Pak Samad sempat berkunjung ke Perpustakaan UniSZA untuk melawat galeri tersebut pada 9 Mac 2019 seusai program ‘Sasterawan D Universiti: Sehari Bersama Pak Samad’. Beliau yang diiringi Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan serta para pegawai kanan UniSZA meluangkan masa kira-kira satu jam bagi melihat bahan-bahan yang dipamerkan.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                 CONTACT US
           
Open source productions