
PWB Dipilih Tuan Rumah Bengkel JKPUA
Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dipilih menjadi tuan rumah bagi Bengkel Pemantapan Agenda Kebangsaan Ketua Pustakawan Universiti Awam pada 25 April 2024. Program tersebut diadakan di Ruang Pembelajaran Kolaboratif, PWB.
Bengkel sehari ini merupakan sesi perbincangan khusus bagi pemantapan agenda kebangsaan Ketua Pustakawan, pemurnian dasar-dasar berkaitan sumber perpustakaan dan semakan wajaran kriteria pengukuhan jawatan Ketua Pustakawan.
Terdahulu, para peserta bengkel yang terdiri daripada Ketua-ketua Pustakawan Universiti Awam seluruh Malaysia ini telah dibawa ke Stesen Penyelidikan Penyu Laut, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Chagar Hutang dan Stesen Penyelidikan UMT Pulau Bidong pada 23 April 2024. Kemudian, Ketua-ketua Pustakawan ini turut menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam (JKPUA) Bil, 2/2024 pada 24 April 2024 di UMT.
PWB dan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), UMT telah dipilih berkolaborasi untuk menjadi penganjur bersama bagi Mesyuarat Jawatankuasa Ketua Pustakawan Universiti Awam (JKPUA) Bil, 2/2024 dan Bengkel Pemantapan Agenda Kebangsaan Universiti Awam yang berlangsung pada 23 hingga 25 April 2024.
25 April 2024
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

PWB Rai Staf Berpencen, Tamat Perkhidmatan
Sudah menjadi resam dunia, setiap yang bermula pasti akan ada penhujungnya. Begitulah juga dengan ‘orang lama’ di Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB), UniSZA yang menamatkan perkhidmatan mereka pada hujung bulan Februari 2024 ini. Mereka adalah Puan Puspa A. Rashid dan Puan Hani Abd. Majid yang merupakan Pembantu Pustakawan Kanan (S26). Puan Puspa menamatkan perkhidmatan pada 27 Februari 2024 manakala Puan Hani pada 29 Februari 2024.
Setelah lebih 35 tahun menabur budi di UniSZA, mereka berdua menamatkan perkhidmatan mereka pada bulan ini. Terdahulu, mereka turut diraikan dalam Majlis Persaraan dan Perpisahan telah diadakan pada 19 Februari 2024 (Isnin).
Dalam pada itu, PWB juga bakal kehilangan dua orang lagi staf iaitu Che Nur Junaidah binti Che Jusoh dan Nur Alya Ezzati binti Che Mohd Zuki.
Buat Puan Puspa dan Puan Hani, PWB mengucapkan selamat menempuh dunia baru. Manakala buat Che Nur Junaidah dan Alya, selamat maju jaya dan selamat menempuh alam baharu di tempat baharu.
Seluruh warga Perpustakaan UniSZA merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada empat orang staf yang diraikan atas komitmen kepada perpustakaan selama berkhidmat di UniSZA. Semoga Allah memberkati segala jasa yang telah diberikan.
3 Mac 2024
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

PWB Jadi Tuan Rumah Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kumpulan Perpustakaan Perubatan
Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) dipilih sebagai tuan rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kumpulan Perpustakaan Perubatan (MLG) Bil. 1/2024 yang berlangsung pada 26 Februari 2024. Mesyuarat diadakan di Smart Classroom, Ruang Pembelajaran Kolaboratif, PWB, UniSZA Kampus Gong Badak.
Seramai 20 orang wakil dari pelbagai institusi di seluruh negara telah menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan secara fizikal dan juga melalui aplikasi dalam talian. Mesyuarat
dipengerusikan oleh Encik Mohd Shah bin Abu Kassim, Pengerusi MLG. Encik Mohd Shah merupakan Timbalan Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, Perpustakaan Negara Malaysia.
Terdahulu, Bengkel Pemukiman Medicore 3 turut diadakan bagi tujuan semakan akhir senarai rujukan perubatan. Senarai rujukan perubatan ini atau Medicore dijangka akan diterbitkan pada tahun 2024 sebagai rujukan utama perpustakaan perubatan.
Selain itu, sesi perkongsian ilmu juga diadakan bersama Cik Kelly, wakil daripada Access Dunia dan beberapa wakil dari Taiwan Medical Library Association (TMLA) melalui aplikasi dalam talian.
Jawatankuasa Tetap Kumpulan Perpustakaan Perubatan ini telah diwujudkan bagi menjalinkan kerjasama dan komunikasi dalam kalangan perpustakaan perubatan di Malaysia. Selain itu, ahli-ahli juga dapat berkongsi ilmu, kepakaran dan sumber dalam usaha menyediakan pelbagai bahan rujukan dan sumber maklumat kepada pengguna dan menyokong institusi perubatan di seluruh negara.
Pada sebelah petang, semua wakil yang hadir juga turut meluangkan masa selama sejam menyertai sesi lawatan ke PWB.
27 Februari 2024
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

Kursus Pemikiran Kreatif dan Inovatif




25 Februari 2024
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA